LAWAS, 2 Nov: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan lawatan ke tapak Pesta Makan Tahun Kedayan 2024 yang diadakan di Pusat Khidmat Ulu Merapok, di sini, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata, pesta berkenaan yang berlangsung buat kali ketujuh bermula dari 1 hingga 3 November ini.
“Antara pengisian program adalah seperti Pertandingan Alai Kapo dan Alai Bangis, ceramah motivasi, pertandingan gasing dan pertandingan Murai Batu.
“Turut diadakan adalah pertandingan sukaneka, sukan tradisi dan pertandingan tarik kalat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, majlis penutupan bagi Pesta Makan Tahun Kedayan 2024 itu dijangka disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus.
Terdahulu, Awang Tengah berkata, pesta itu bakal menjadi salah satu acara mempromosikan kebudayaan masyarakat Kedayan yang banyak mendiami kawasan utara wilayah ini.
Katanya, pesta itu yang yang disambut selepas musim menuai padi akan menampilkan kebudayaan, makanan tradisi dan kesenian asal masyarakat di Lawas. – TVS