KUCHING, 2 Nov: Polis masih mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian kebakaran sebuah kenderaan Jabatan Imigresen di Jalan Pending di sini, pada 23 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Farhan Lee Abdullah berkata, suspek berusia 42 tahun dikenali sebagai Nasarudin Abu Bakar.
“Pihak polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan dalam kes ini,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, seorang lelaki telah dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) di Mahkamah Sesyen Kuching yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan boleh dikenakan denda.
“Kita menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan lelaki ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau mana-mana balai polis berhampiran dan berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Tengku Mu’izz Farizzul Tengku Mohamud di talian 016-8930607.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang mengambil tindakan di luar batasan undang-undang,” tegasnya.-TVS