BETONG, 2 Nov: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus komited dalam memperkukuhkan pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata, Program Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) yang dimulakan di Sarawak sejak tahun 2020 adalah salah satu usaha yang bertujuan menjana ekonomi setempat dan memperbaiki infrastruktur serta kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, PROSPEK Betong yang dirancang untuk dimulakan pada 2025 akan menjadi projek pertama melibatkan komuniti rumah panjang di Betong.
“Dengan tempoh pembangunan lima tahun, projek ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk, melibatkan 94 rumah panjang serta kawasan sekitarnya.
“Projek ini akan menumpukan kepada aktiviti ekonomi seperti pertanian, penternakan, produk tradisional dan kraftangan dengan tumpuan kepada produk niche seperti penternakan ayam dan tanaman halia.” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap PROSPEK dapat mengubah setiap komuniti yang terlibat menjadi pusat ekonomi luar bandar yang dinamik menjelang tahun 2030.
Pada Sabtu, beliau menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Enteri Anak Lengkoi Samu, Spaoh, Betong, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-100 rumah panjang tersebut yang mana beliau beramah mesra dengan penduduk setempat.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan wakil Rumah Panjang Samu Tan Sri Empiang Jabu.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan bantuan persekolahan melalui inisiatif CSR Yayasan Pelajaran Mara (YPM) merangkumi pemberian wang tunai RM100 dan beg sekolah kepada 200 pelajar di kawasan Betong.
Bantuan tersebut bertujuan memberi sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak mereka serta mendorong pelajar mencapai kecemerlangan akademik.
Dengan inisiatif yang komprehensif tersebut, KKDW memperkukuh usaha untuk memastikan masyarakat luar bandar Sarawak terus menikmati manfaat pembangunan menyeluruh bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi juga pendidikan untuk kesejahteraan generasi masa depan. -TVS