KUCHING, 2 Nov: Kerjasama berpasukan yang efektif dapat membantu kakitangan Lembaga Air Kuching (LAK) dalam mengurus perkhidmatan bekalan air terawat di Kuching.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, LAK harus lebih bersedia mendepani cabaran sekali gus melihat kepada keperluan masa depan yang dinamik dan produktif dalam perkhidmatan.
Menurutnya, sokongan dan dorongan secara berpasukan mampu menghasilkan perkhidmatan cemerlang bagi mendepani pelbagai isu dan cabaran berkaitan pengurusan sumber air secara lebih efektif.
“Dalam meniti usia 65 tahun, Lembaga Air Kuuching harus lebih bersedia dan cekal mendepani cabaran serta melihat kepada keperluan masa depan.
“Walaupun negara kita mempunyai sumber air mencukupi bagi membekalkan air yang selamat dan terawat, kita perlu sedar masih terdapat pelbagai isu serta cabaran berkaitan pengurusan sumber air yang perlu diberikan perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 di Kuching pada Jumaat.
Sementara itu, seramai 49 kakitangan Lembaga Air Kuching menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi sesi 2023.
Pada majlis sama, Lembaga Air Kuching turut meraikan 19 kakitangan yang bersara pada 2024.-TVS