Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar merasmikan Festival Gendang Sarawak 2024 di Kuching pada Jumaat. Foto TVS

FGS wadah pupuk kecintaan terhadap seni, budaya bergendang

KUCHING, 2 Nov: Festival Gendang Sarawak (FGS) 2024 mampu menjadi wadah untuk memupuk kecintaan terhadap seni dan budaya bergendang terutama dalam kalangan generasi muda serta pelancong yang berkunjung ke Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain elemen hiburan, festival gendang turut mengetengah dan mempopularkan seni warisan bergendang, bermukun serta bertandak yang menjadi warisan turun-temurun masyarakat Sarawak.

“Penganjuran Festival Gendang Sarawak ini dapat mengajak masyarakat di Sarawak untuk memupuk rasa cinta terhadap seni dan budaya terutama bagi golongan muda sebagai satu bentuk khazanah warisan yang wajib dipelajari serta dipelihara.

“Dengan penganjuran FGS 2024 ini juga, diharap generasi muda dapat mengambil peluang untuk menambahkan ilmu pengetahuan bagi mengenali, mempelajari serta menguasai adat budaya dan kesenian yang diturunkan sejak zaman berzaman.

“Khazanah ini juga perlu dipelihara bersama agar tidak mudah dilupakan dan perlu ditanam sebagai jati diri setiap anak Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Gendang Sarawak 2024 di Kuching pada Jumaat.

Penganjuran festival edisi ke-11 ini katanya adalah untuk memelihara dan menggalakkan pembangunan budaya bagi mempelbagaikan produk pelancongan di Bumi Kenyalang ini.

Menurutnya, aktiviti kesenian akan merancakkan lagi segmen pelancongan di Sarawak yang setakat Oktober 2024 dijangkakan seramai empat juta pelancong berkunjung ke Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato Shaharuddin Abu Sohot pula berkata, festival itu akan mengetengahkan keunikan seni budaya masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.

“Program kerjasama antara MOTAC dan MTCP (Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan) ini dilaksanakan bagi menyemarakkan program pelancongan budaya terutama di Sarawak supaya terus dilestarikan dan dapat dinikmati oleh semua lapisan generasi.

“FGS juga antara program yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Sarawak saban tahun serta menjadi signature programme antara Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sarawak. Ia sekalicgus menjayakan misi ke arah Tahun Melawat Malaysia Tahun 2026,” ujarnya.

Lebih 200 peserta yang terdiri daripada artis, penggiat serta aktivis seni dan budaya gendang menyertai Festival Gendang Sarawak 2024 ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Setiausaha Tetap MTCP Datu Sherrina Hussaini, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi dan Pengarah JKKN Sarawak Noor Seela Noor Sulaiman.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan