RIYADH, 2 Nov: Sektor pelancongan Arab Saudi terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, melonjak 15 anak tangga dalam penerimaan pelancongan antarabangsa, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB (UNWTO) meletakkan Arab Saudi di kedudukan ke-12 pada 2023, satu peningkatan ketara berbanding pada 2019.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat, badan PBB itu menyatakan bahawa Arab Saudi memimpin negara-negara G20 dalam pertumbuhan berdasarkan Barometer Pelancongan PBB, dengan mencatatkan peningkatan 73 peratus bagi ketibaan pelancong antarabangsa dan peningkatan 207 peratus dalam penerimaan pelancongan antarabangsa berdasarkan data terkini bagi tujuh bulan pertama 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2019.
Pencapaian mengagumkan ini mencerminkan kejayaan Kerajaan sebagai destinasi pelancongan terkemuka.
Peningkatan berterusan dalam ketibaan pelancong antarabangsa turut mengukuhkan kepercayaan pengunjung terhadap daya tarikan yang pelbagai di Arab Saudi, lapor SPA.
Secara global, ketibaan pelancong antarabangsa mencapai 96 peratus berbanding tahap pra-pandemik dalam tujuh bulan pertama 2024, berjumlah kira-kira 790 juta pelancong – peningkatan 11 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa Timur Tengah mengekalkan kedudukan sebagai rantau dengan pertumbuhan paling pesat, mencatatkan peningkatan 26 peratus dalam ketibaan antarabangsa berbanding 2019. – TVS