KUCHING, 2 Nov: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kes berhubung kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta.
Ia adalah susulan komitmen beliau yang mahu Jabatan Audit Negara (JAN) mengaudit syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik.
“Selaku Pengerusi, saya telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.
“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik, selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Semalam, Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengeluarkan kenyataan berasingan mengenai kerugian sebanyak RM43.9 juta yang dialami kedua-dua syarikat itu setelah menjual pegangan dalam platform e-dagang Fashion Valet Sdn Bhd dengan harga RM3.1 juta.
Khazanah dalam kenyataannya berkata, pelupusannya dari FashionValet mewakili jalan keluar yang bertanggungjawab untuk memindahkan pemilikan kepada pihak yang boleh membantu membimbing mereka ke trajektori pertumbuhan baharu.
Sementara itu, PNB dalam kenyataan berasingan juga menjelaskan pelaburannya dalam FashionValet dibuat menggunakan dana proprietarinya (hak miliknya) dan bukan dana amanah yang berada di bawah ASNB yang dilanggan oleh orang awam.
Melangkah ke depan, Khazanah berkata ia akan terus melabur secara bertanggungjawab dan mengurus aset ke arah pulangan mampan kepada pelbagai generasi untuk negara.
PNB, satu daripada syarikat pengurusan dana terbesar di negara ini pula berkata ia kekal komited untuk bertindak dengan bijaksana dan berhati-hati dalam keputusan pelaburannya, yang dipandu oleh proses ketekunan wajar dan kelulusan yang terhad. – TVS