MIRI, 1 Nov: Tokong Tua Pek Kong menjadi tumpuan hari ini dengan upacara penyerahan Dua Naga Berganda terpanjang yang dihiasi dengan reka bentuk megah.
Majlis ini disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, yang turut memberi penghormatan kepada sejarah dan pembangunan tokong tersebut.
“Kita dapat melihat bahawa tokong di sini, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, telah mengalami pelbagai perubahan serta penambahan infrastruktur dan pembinaannya.
“Dengan kos sebanyak RM800,000, naga ini telah siap dibina dan pagi ini kita akan mengadakan satu upacara yang dikenali sebagai Dragon Eye Dotting Ceremony.
“Tokong ini mempunyai sejarah lebih dari 100 tahun dan saya sendiri turut membantu dalam pembangunannya kerana ia juga merupakan tarikan pelancongan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Kim Shin turut menekankan tokong ini tidak hanya menarik minat penduduk tempatan tetapi juga pelancong luar.
“Ramai pengunjung yang datang sejak dahulu hingga kini menunjukkan minat terhadap tokong ini. Selain itu, terdapat juga penambahan bangunan yang lain dan mereka turut membina sebuah muzium budaya di sini.
“Muzium ini berkait rapat dengan sejarah Miri, dan kini tempat ini telah menjadi salah satu tarikan pelancongan,” tambahnya.
Menurutnya, dengan pelaburan yang berterusan dalam infrastruktur dan program pelancongan, Miri berpotensi untuk menarik lebih banyak pengunjung dan memperkukuh statusnya sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Upacara ini bukan sahaja mencerminkan komitmen terhadap pelestarian warisan budaya tetapi juga menunjukkan usaha untuk memperkaya pengalaman pelancong yang datang ke Miri. – TVS