BELAWAI, 1 Nov: Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hari ini mengadakan kunjungan ke Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang.
Kehadiran Toh Puan Fauziah disambut mesra oleh Pengerusi Kumpulan Tenun Songket Rajang, Sa’anah Suhaili serta dipersembahkan dengan alunan muzik gelinang oleh Kumpulan Gelinang Kampung Rajang.
Dalam lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat ringkas tentang Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang oleh Sa’anah dan berpeluang melihat sendiri hasil tenunan kain songket.
Sebagai tanda penghargaan, Toh Puan Fauziah telah menerima cendera mata daripada Sa’anah yang berupa beg tangan dihasilkan dengan kain songket.
Dalam pada itu, Sa’anah berkata lawatan tersebut merupakan penghormatan besar bagi pusat tenunan songket yang telah berusia lebih 30 tahun dan beroperasi sejak 24 April 1991.
“Kami sangat berbangga dengan kehadiran Toh Puan hari ini. Tidak disangka isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak sudi melawat tempat kami.
“Toh Puan amat menyukai cendera mata yang kami hadiahkan dan mahu menempah kain songket untuk dijadikan beg seperti yang kami berikan.
“Beliau juga berbangga kerana dapat menemui penenun-penenun songket Rajang,” katanya kepada pemberita.
Sa’anah juga menjelaskan beberapa cabaran yang dihadapi pusat tenunan songket itu dalam mencari generasi pelapis, memandangkan kebanyakan kakitangannya terdiri daripada golongan berusia.
“Anak muda masa kini jarang berminat dengan perusahaan seperti ini kerana lebih gemar bekerja makan gaji kerana menenun songket pendapatannya bergantung kepada kualiti dan kepuasan produk,” ujarnya. – TVS