MIRI, 1 Nov: Tiga penghuni hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Senadin Jaya di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 8.10 malam dengan menggerakkan anggota dari BBP Lutong dengan bantuan BBP Lopeng ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan rumah setingkat.
“Kediaman yang dihuni seorang wanita berusia 49 tahun bersama-sama dua anak lelakinya berusia 15 dan 21 tahun terbakar keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak bomba memadam kebakaran berpandukan konsep RECEO dengan membentang satu aliran 200 kaki dua pancutan memadam secara defensive sehingga api padam sepenuhnya.
Punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami masih dalam siasatan.-TVS