MIRI, 1 Nov: ‘Taste of Borneo Cultural Carnival 2024’, karnival yang meraikan kepelbagaian dan keunikan budaya pelbagai etnik, memeriahkan lagi bandar raya ini dengan pelbagai aktiviti.
Karnival yang berlangsung selama 12 hari bermula 31 Oktober hingga 10 November ini menampilkan pameran kebudayaan, persembahan tradisional, serta gerai makanan dari pelbagai komuniti etnik di pekarangan Boulevard Mall.
Acara ini turut disertai komuniti Jatti Miriek dan Bidayuh yang masing-masing mempersembahkan warisan budaya mereka yang kaya untuk tatapan pengunjung.
Menurut Robiah Tani, salah seorang wakil Persatuan Jatti Miriek Miri, beliau teruja berkongsi kisah usaha memartabatkan bahasa Jatti Miriek melalui pameran kebudayaan di karnival ini.
“Bahasa Miriek merupakan salah satu bahasa tertua, berdasarkan kajian beberapa pengkaji linguistik. Mereka mendapati bahasa Miriek ini sangat unik dan mempunyai persamaan, walaupun tidak banyak, dengan bahasa kaum-kaum di Ulu Baram seperti Kenyah, Lun Bawang, dan Kayan, serta sedikit kesamaan dengan Kelabit,” katanya ketika ditemui TVS, hari ini.
Sementara itu, Persatuan Dayak Bidayuh Miri turut mempamerkan pembuatan kraf tangan dan pakaian tradisional Bidayuh yang menjadi tarikan pengunjung.
Venezia Doning dari persatuan itu menggalakkan komuniti Bidayuh di Miri untuk bersatu dan hidup harmoni, walaupun berasal dari latar belakang dan daerah yang berbeza.
Menurutnya, komuniti ini harus terus bersatu padu dan bekerjasama dalam memperkenalkan serta memartabatkan budaya mereka kepada masyarakat umum.
“Saya menggalakkan rakan-rakan Bidayuh di Miri untuk menyertai persatuan Bidayuh, kerana melalui persatuan, kita dapat berkumpul dan bersatu, sama ada dalam senang atau susah.
“Kita adalah satu dan apa jua yang kita lakukan, kita lakukannya bersama dengan kesatuan yang kukuh,” ujarnya.
Turut memeriahkan pameran kebudayaan kali ini adalah penyertaan daripada pelbagai persatuan etnik termasuk Persatuan Kedayan Miri, Persatuan Melanau Miri, Persatuan Berawan Sarawak, Persatuan Pembangunan Tipun Penan Sarawak, Persatuan Masyarakat Saban, Persatuan Bisaya Sarawak, Rurum Kelabit Sarawak, Persatuan Lun Bawang Sarawak, Persatuan Lakiput Sarawak dan Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak. – TVS