JAKARTA, 1 Nov: Sembilan orang maut manakala empat lagi dilaporkan melecur akibat kebakaran di sebuah kilang milik PT. Jati Perkasa Nusantara di wilayah Medan Satria, Bekasi, Jawa Barat.
Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Bekasi melaporkan, kebakaran kilang pembuatan makanan ternakan itu berlaku pada 7 pagi hari ini menyebabkan mangsa terperangkap dan dipindahkan dalam keadaan maut.
Ketua BPBD Bekasi Priadi Santoso berkata, kebakaran besar itu menyukarkan usaha pemadaman walaupun sebanyak 27 jentera telah dikerahkan namun api dapat dikawal selepas tujuh jam.
“Pasukan berjaya mengawal kebakaran dan memindahkan kesemua mangsa yang sempat terjebak,” katanya.
Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital.
Pihaknya juga telah meminta polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Usaha penyejukan dan pembersihan juga dilakukan bagi mengesan mangsa yang mungkin belum ditemui. – TVS