KUCHING, 1 Nov: Kemajuan semasa projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak kini mencapai status 99.50 peratus siap, kata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Pemangku Pengarah JKR Sarawak, Wisil Lichok berkata, projek LPB dibahagikan kepada 11 pakej kontrak kerja (25 seksyen) sejauh 786 kilometer yang mana sebanyak 11 syarikat kontraktor dilantik untuk melaksanakan projek tersebut.
Menurutnya, beberapa faktor dikenal pasti memberi impak kepada kelancaran pelaksanaan projek seperti isu kekurangan tenaga pekerja dan peningkatan harga bahan binaan.
“Tinggal sedikit lagi kerja di Seksyen Sarikei, Beluru dan Lambir yang dijangka siap menjelang penghujung tahun ini, kesemua 25 seksyen di bawah skop projek ini telah dibuka kepada orang awam.
“Bagi memastikan setiap kerja dipantau rapi, Cawangan Lebuhraya Pan Borneo (sebelum ini dikenali sebagai Unit Lebuhraya Pan Borneo) telah dibahagikan kepada tiga zon pejabat pentadbiran iaitu Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Utara yang diketuai oleh Pengurus Zon dan Pengurus Projek bagi setiap pakej.
“Ketua Zon dan Pengurus Projek sentiasa turun padang dan memantau sendiri perkembangan semasa setiap kerja yang dilakukan setiap masa bagi seksyen yang masih lagi mempunyai pembinaan,” katanya ketika ditemu bual TVS di Ibu Pejabat JKR Sarawak di Wisma Saberkas, hari ini.
Wisil berkata, JKR mengambil tindakan segera terhadap sebarang aduan yang disampaikan oleh orang awam sama ada secara terus atau melalui perkongsian di platform sosial media seperti Facebook, Instragram dan TikTok.
Menurutnya, JKR agensi langsung untuk menyelaras pelaksanaan mewakili kerajaan Pusat (Kementerian Kerja Raya Malaysia) melakukan pelbagai inisiatif dalam memastikan projek itu terus dilaksanakan agar pengguna boleh menikmati perjalanan di lebuh raya dengan lebih selesa serta menjimatkan masa perjalanan.
Menyentuh mengenai kesedaran pusingan-P pula, beliau berkata, JKR menjalankan beberapa inisiatif keselamatan di LPB seperti program ‘Jelajah Advokasi Keselamatan di Lebuhraya Pan Borneo’, menerbitkan video kesedaran keselamatan mengenai pusingan-P dan peringatan had laju serta melakukan kempen keselamatan jalan raya pada musim perayaan.
Ini kerana menurut statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak, sebanyak 1,974 kemalangan direkodkan berlaku di LPB pada tahun 2023 dan sebanyak 1,459 kes direkodkan hingga Ogos lalu.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 92 kes (2023) dan 53 kes (2024) maut dicatatkan. Bagi kes kemalangan di pusingan-P pula, sebanyak 51 kes dicatatkan pada tahun 2023 dan setakat Ogos lalu, sebanyak 65 kes dicatatkan.
“Kami di JKR Sarawak yakin bahawa kesedaran keselamatan di LPB adalah tanggungjawab bersama. Orang ramai hendaklah sentiasa mematuhi peraturan trafik yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa terutama had laju, mematuhi cara betul melakukan pusingan-P dan tidak memandu melawan arus demi memendekkan masa perjalanan ke destinasi yang hendak dituju,” ujarnya.
Menurut Wisil, pihaknya turut menerima banyak laporan kes vandalisme berlaku di perhentian bas yang disediakan, pembuangan sampah di perhentian bas dan pusingan-P serta kecurian besi pembahagi jalan.
Beliau berkata, laporan itu termasuk meter elektrik yang digunakan untuk menjana elektrik ke lampu jalan di pusingan-P dan beberapa jajaran turut dicuri atau dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan lampu jalan berkenaan tidak berfungsi dan seterusnya mengundang bahaya kepada pengguna lebuhraya yang lain.
Tindakan tersebut menurutnya akan menyebabkan kerugian kepada pihak kerajaan untuk membaiki kerosakan yang berlaku. – TVS