Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menghadiri Majlis Perasmian Naik Taraf Masjid Darul Iman Daerah Kecil Sadong Jaya, di sini, hari ini. Foto Alex Teo (TVS)

Perkasa bidang pendidikan, lahirkan generasi muda mahir al-Quran dan Sains

BySheera Abg Mansor

SADONG JAYA, 1 Nov: Kerajaan Sarawak sedang menuju ke arah memperkasa dan menaik taraf sistem pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mahir dalam ilmu al-Quran tetapi cemerlang dalam bidang Sains dan Teknologi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan sekolah antarabangsa Islam yang menggabungkan silibus al-Quran dan pendidikan Cambridge bertujuan menyediakan generasi muda yang dapat menterjemah serta mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam bidang ilmu untuk meningkatkan kedudukan Islam dari semua aspek.

“Apa yang kita nak buat hari ini ialah anak-anak hafiz yang kita keluarkan hendaklah meneruskan pendidikan mereka di peringkat sekolah rendah terus ke sekolah menengah.

“Dan dalam sekolah menengah ini, silibusnya adalah al-Quran dan juga silibus dunia, bermakna kita memberi latihan dari sudut aspek pendidikan sains kerana tamadun Islam berpunca daripada ilmu sains.

“Teknologi seperti telefon bimbit berasal daripada subjek algoritma dan yang membangunkan teknologi tersebut ialah pakar Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Naik Taraf Masjid Darul Iman Daerah Kecil Sadong Jaya, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, langkah tersebut seiring dengan keperluan dunia kini yang penuh cabaran dan memerlukan kepakaran saintifik khususnya dalam menghadapi perubahan iklim yang semakin meruncing.

“Baru- baru ini Sepanyol terjejas kerana air bah yang teruk. Begitu juga Taiwan yang berhadapan taufan yang kuat.

“Dunia menjadi kelam kabut, bermakna kita berkehendakkan ahli Sains dan kita di Sarawak menuju ke arah itu,” ujarnya.

Abang Johari turut berkesempatan menunaikan solat Jumaat bersama-sama sekitar 200 jemaah sebelum melawat Pusat Tahfiz Darul Naim yang bertempat di perkarangan Masjid Darul Naim.

Masjid Darul Iman yang sudah dinaik taraf kini menjadi lebih indah dengan pembinaan empat menara sebagai simbol kekuatan syiar Islam dan mampu menampung lebih 1,500 jemaah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Aidel Lariwoo berkata, Pusat Tahfiz Darul Iman yang sudah pun mula beroperasi itu melahirkan banyak pelajar tahfiz al-Quran yang berjaya mewakili peringkat bahagian dan negeri.

“Semestinya kita rasa bertuah sekali kerana telah mempunyai tempat untuk beribadah dan juga pusat tahfiz yang dapat mengembangkan syiar Islam untuk masyarakat Daerah Sadong Jaya,” jelasnya.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Datuk Fazzrudin Abdul Rahman. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan