KUCHING, 1 Nov: Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat (UKJRK) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak baru-baru ini dijemput untuk mengendalikan Program Ceramah dan Fasilitator Pemanduan Ambulans anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Bahagian Perubatan) di Bilik Mesyuarat Unit Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).
JPJ Sarawak menerusi kenyataan menjelaskan, program tiga hari yang bermula 28 Oktober dan berakhir semalam itu melibatkan beberapa sesi ceramah dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak manakala JPJ memyampaikan Ceramah Keselamatan Jalan Raya dan Sesi Defensive Driving kepada pemandu ambulans.
Sesi Defensive Driving menekankan tentang praktikal pemanduan dengan pemandu membawa sendiri ambulans dengan diuji Pegawai QTO JPJ yang terlatih.
Ia sekali gus memberi tunjuk ajar mengenai teknik pemanduan yang betul untuk seseorang pemandu ambulans semasa berada di jalan raya.
Program seperti itu sedikit sebanyak memberi pengetahuan dan ilmu tambahan dalam pemanduan kepada pemandu ambulans dan memastikan mereka refresh terhadap modul pemanduan.-TVS