SEPANG, 1 Nov: Juara MotoGP dunia dua kali Francesco Bagnaia memulakan kempen kejuaraan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2024 dengan cemerlang apabila muncul pelumba terpantas pada sesi latihan bebas 1 (FP1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.
Pelumba Ducati Lenovo Team berkenaan merekodkan masa satu minit 58.795 saat (s) untuk meninggalkan pelumba Aprilia Maverick Vinales dengan kelebihan +0.743s, manakala pelumba Pertamina Enduro VR46 Racing Team Marco Bezzecchi di tempat ketiga (1:59.848s).
Sementara itu, dalam kelas Moto2, pelumba Britain Jake Dixon dari CFMOTO Aspar Team melakukan masa terpantas 2:06.255s untuk mendahului sesi latihan bebas.
Pelumba Jepun Ai Ogura dari MT Helmets-MSI berada di tempat kedua terpantas dengan catatan masa 2:06.461s, dan Marcos Ramirez dari OnlyFans American Racing Team di tempat ketiga (2:06.589).
Bagaimanapun, dua pelumba wildcard negara Muhammad Helmi Azman dan Khairul Idham Pawi dari pasukan PETRONAS MIE Racing RW gagal menyerlah apabila masing-masing menduduki tempat ke-29 (2:09.55s) dan ke-32 (2:10.195s).
Aksi Moto3 pula menyaksikan Angel Piqueras dari Leopard Racing mendominasi sesi latihan bebas dengan catatan masa 2:23.835s untuk berada di hadapan David Almansa dari Kopron Rivacold Snipers Team (2:24.355s), manakala tempat ketiga milik pelumba BOE Motorsports David Munoz (2:24.387s). -TVS