TANJUNG MANIS, 1 Nov: Sebanyak RM5.37 juta diperuntukkan di bawah dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menjayakan pembinaan Masjid Al-Haj Kampung Jerijeh.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, masjid tersebut mula dibina pada 2017 melalui beberapa peringkat sebelum siap sepenuhnya 2023.
Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020 menyebabkan projek berkenaan mengalami sedikit kelewatan.
“Alhamdulillah, Masjid Al-Haj kini mampu menampung sehingga 1,000 jemaah dalam satu masa. Selain dilengkapi sistem penghawa dingin, karpet dan kipas yang merupakan sumbangan orang ramai.
“Sementara itu, masjid lama yang bersebelahan digunakan untuk aktiviti pengajian kelas al-Quran untuk penduduk setempat bagi membantu meningkatkan pemahaman agama dalam kalangan komuniti,” katanya pada Majlis Perasmian Masjid Al -Haj Kampung Jerijeh Tanjung Manis, pada Jumaat.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, selain masjid baharu, Kampung Jerijeh turut mendapat peruntukan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bernilai RM20 juta ringgit di bawah Projek Rakyat Premier bagi meningkatkan kualiti pembangunan kawasan itu.
Malah katanya, pelbagai projek kemudahan lain turut disediakan seperti dewan masyarakat menerusi RTP bernilai RM1.6 juta dan pembangunan semula Sekolah Sekolah Kebangsaan Abang Buyuk bernilai RM8.7 juta di bawah Skim Pembangunan Semula Sekolah Daif Sarawak.
“Saya berharap inisiatif yang disediakan menyediakan persekitaran selesa dan lebih teratur sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Hadir sama isteri Tun Dr Wan Junaidi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab. – TVS