KUCHING, 1 Nov: Projek Jambatan Bintulu-Jepak yang merentasi Sungai Kuala Kemena dijangka siap pada Februari tahun depan akan menghubungkan kawasan pesisir Sarawak dari Sematan hingga ke Miri melalui jalan utama.
Pemangku Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Wisil Lichok berkata, tahap kemajuan fizikal projek kini berada di tahap 92 peratus.
Menurutnya, rakyat Bintulu akan dapat memanfaatkan jambatan baharu ini sejurus selepas sambutan Tahun Baru Cina pada tahun hadapan.
“Jambatan Bintulu-Jepak ini akan memendekkan perjalanan laluan pesisir dari Lapangan Terbang Bintulu ke bandar Bintulu menjadi 6.4 kilometer daripada 22 kilometer yang pada masa ini menerusi laluan Jalan Bintulu-Sibu.
“Selain itu, Pusat Pentadbiran Bahagian Bintulu berdekatan dengan jambatan ini juga turut dibina yang akan membantu mempercepat pembangunan kawasan Jepak dan memberi perkhidmatan lebih cekap untuk lebih 260,000 penduduk di Bintulu, pemangkin pelaburan di Tanjung Kidurong serta Taman Perindustrian Samalaju,” katanya ketika ditemu bual oleh TVS di Ibu Pejabat JKR Sarawak di Wisma Saberkas, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah JKR Sarawak (Infrastruktur) menjelaskan, projek itu adalah sebahagian daripada Program Rangkaian Jalan Pesisir Sarawak yang bukan sahaja memperkukuhkan akses dan meningkatkan rangkaian infrastruktur bagi kemudahan rakyat tetapi berperanan dalam merangsang aktiviti sosioekonomi di sepanjang kawasan pesisir.
Walaupun pembinaannya mengalami kelewatan akibat pandemik COVID-19 yang menyumbang kepada faktor kekurangan tenaga kerja dan kos bahan binaan meningkat, Wisil berkata JKR Sarawak sentiasa komited melaksanakan semua projek pembangunan mengikut tempoh masa ditetapkan tanpa mengabaikan kualiti projek berkenaan.
Menurut Wisil, JKR Sarawak berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh kontraktor dari segi kualiti dan mendahului sasaran asal dari tempoh diberikan.
“Antara langkah penting yang dilakukan oleh kontraktor ialah meningkatkan bilangan tenaga kerja mereka dan penambahan jentera (machineries) bagi kerja fizikal yang kritikal.
“Selain itu, inisiatif yang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak iaitu Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 telah memperkenalkan klausa Perubahan Harga (VOP) dalam kontrak kerja dan ini sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah kenaikan harga bahan binaan yang dihadapi oleh pihak kontraktor.
“Kerajaan turut proaktif dengan mempercepatkan permit bagi kemasukan pekerja asing untuk menampung masalah kekurangan pekerja domestik,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menambah terdapat beberapa projek jambatan lain yang kini turut dalam fasa pembinaan iaitu Jambatan Merentasi Batang Rajang, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Saribas dan Jambatan Sungai Krian. – TVS