KOTA SAMARAHAN, 1 Nov: Seramai 46 orang pelajar peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP) yang bakal menerima skrol minggu ini diraikan dalam Majlis Pemakaian Jubah Graduan DBA dan PhD di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.
Majlis Pemakaian Jubah Graduan DBA dan PhD yang julung kali diadakan ini merupakan simbolik dan satu bentuk pengiktirafan kepada usaha penuh dedikasi para graduan, penyelia dan pensyarah yang telah berjaya membimbing mereka mencapai tahap tertinggi di dalam dunia akademik.
Malah, ia merupakan acara yang penuh bermakna bagi para graduan PhD dan DBA yang telah bertungkus-lumus menamatkan pengajian masing-masing.
“Semua graduan adalah aset yang berharga untuk UNIMAS. Mereka bakal menjadi duta untuk ramai lagi pelajar pascasiswazah untuk menyambung pengajian di FEP UNIMAS, ” kata Dekan FEP.

Menurut Dr Asmaul Husna bin Haris Fadzilah yang merupakan Koordinator Program DBA UNIMAS, majlis ini melakar sejarah dengan meraikan graduan teramai dalam sejarah program DBA UNIMAS semenjak ia diperkenalkan pada 2019, iaitu seramai 23 orang graduan yang akan menerima skrol pada majlis konvokesyen kali ini.
Tambah beliau lagi, Program DBA yang ditawarkan oleh UNIMAS bukan sahaja telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tetapi juga menawarkan modul pengajaran fleksibel dan sesuai buat golongan profesional yang bekerja, selain dibarisi tenaga pengajar yang pakar di dalam bidang masing-masing.
Sebab itulah Program DBA UNIMAS menjadi pilihan pelajar yang ingin menyambung pengajian pascasiswazah terutama dalam kalangan profesional yang bekerja.
Selain itu, mana-mana individu yang berminat untuk menyambung pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), boleh menghubungi beliau di hfahusna@unimas.my.
Hadir sama, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengkomersialan), Prof Dr Evan Lau Poh Hock; Timbalan Dekan (Sarjana Muda), Dr Mohd Khairul Hisyam; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr Janifer Lunyai; Timbalan Dekan (Hubungan Industri dan Masyarakat), Dr Nur Zaimah Ubaidillah, Ketua Jabatan, Penyelaras Program, Penyelia dan ahli keluarga graduan.

UNIMAS akan menganjurkan Majlis Konvokesyen ke-28 pada 4 hingga 7 November ini. – TVS