KUCHING, 1 Nov: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menyerahkan sumbangan RM8,000 kepada 16 pengusaha perahu tambang yang terjejas operasi mereka sepanjang Regata Sarawak 2024 berlangsung di Sungai Sarawak di sini.
Menurut BPHB, bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban pengusaha yang membawa penumpang menyeberangi Sungai Sarawak.
“Perahu tambang bukan sahaja merupakan pilihan pengangkutan yang popular, tetapi juga menjadi tarikan pelancongan utama di Tebingan Kuching. Namun, kelangsungan acara ini memberi kesan terhadap operasi pengusaha perahu tambang,” katanya dalam kenyataan.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani di Corporate Box Bintulu Port Holdings Berhad di Tebingan Kuching, hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, BPHB turut menyumbang 30 unit jaket keselamatan kepada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak sebagai inisiatif program tanggungjawab sosial Bintulu Port Prihatin.
Sumbangan yang diterima Asisten Pengawal (Pentadbiran) LSS, Julaihi Shahmad adalah susulan daripada tragedi yang menimpa peserta regata dua minggu lalu.