BUKIT MERTAJAM, 1 Nov: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman ke atas 35 bas ekspres dan persiaran selepas didapati tidak mempunyai pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh menerusi operasi di Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua dekat sini semalam.
JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, operasi kira-kira tujuh jam yang berakhir pukul 6 pagi itu menyasarkan kenderaan pelancongan serta perkhidmatan awam iaitu bas persiaran dan ekspres.
Kata kenyataan itu, saman tersebut dikeluarkan selepas mendapati kesemua bas sedang melakukan perjalanan melebihi 300 kilometer atau melebihi empat jam.
“Kesalahan lain adalah tidak kemaskini buku log pemandu, gagal selenggara kenderaan dengan baik dan kesalahan teknikal.
“Sebanyak 169 notis saman dan kesalahan teknikal turut dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.
Ujarnya, pemandu dan pengusaha kenderaan perkhidmatan awam dinasihati supaya mematuhi peraturan dan undang-undang bagi memastikan kenderaan selamat digunakan di jalan raya. – TVS