LIMBANG, 31 Okt: Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Limbang sedang mencari waris kepada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di atas meja depan rumah penduduk di Kampung Lintang, Trusan pada 9 Oktober lepas.
Jurucakap PKMB Limbang dalam kenyataan media hari ini berkata, bayi lelaki tersebut dijumpai oleh salah seorang penghuni rumah tersebut.
Menurunya, penduduk berkenaan menjumpai bayi itu di atas meja dan dibungkus dengan sehelai kain.
Tambahnya, bayi lelaki itu diselamatkan di bawah Seksyen 17(1)(e)(i) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kes itu dibawa ke Mahkamah Lawas pada 28 Oktober lepas bagi Perintah Jagaan Sementara di Tempat Selamat yang diwartakan.
“Pelindung telah mendapat pengecualian Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 untuk membuat siaran media bagi tujuan mengesan ibu kandung dan waris kanak-kanak.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali ibu kandung atau waris bayi lelaki ini diminta untuk menghubungi PKMB Limbang atau Pelindung, Alister dan Jujiana di talian 085-211930 dengan segera,” kata kenyataan itu.
PKMB Limbang turut mengingatkan agar orang ramai tidak membuat panggilan palsu kerana boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.- TVS