SARIKEI, 31 Okt: Sebuah rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Kim Shan di sini, petang tadi.
Insiden kira-kira jam 4.40 petang itu dilaporkan berlaku ketika penghuninya tidak berada di rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, kejadian disedari penduduk berhampiran selepas ternampak kepulan asap tebal dari rumah berkenaan.
“Mereka kemudiannya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi TVS.
Menurut Mahmudin, bomba dengan kekuatan 10 anggota dan tiga jentera bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang.
Ketika bomba tiba katanya, penghuni rumah terbabit tidak berada di lokasi.
“Kita melakukan pemadaman dengan menggunakan sumber air terbuka untuk memastikan api tidak merebak ke kawasan berhampiran.
“Kerja pemadaman mengambil masa lebih dua jam sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.15 petang,” katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.
“Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan, ” ujarnya. – TVS