Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ditemui media selepas mengadakan kunjungan Rumah Terbuka Deepavali di kediaman Presiden Persatuan Kuil Sikh Sarawak (PKSS), Dr Kalwinder Singh Khaira di Lorong Sungai Maong Tengah 3, hari ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Rang Undang-Undang CCUS dijangka diluluskan Disember

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 31 Okt: Rang Undang-Undang Penangkapan, Penggunaan, dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dijangka diluluskan di Parlimen Disember ini sekali gus membuka peluang untuk urusan perdagangan karbon rentas sempadan yang bakal melibatkan Sarawak pada tahun hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, undang-undang tersebut memerlukan Kerajaan Persekutuan sebagai penandatangan konvensyen antarabangsa untuk melindungi kepentingan negara dalam perdagangan karbon.

“Kerajaan Persekutuan akan memperkenalkan undang-undang baharu iaitu Rang Undang-Undang CCUS pada sidang Parlimen Disember nanti.

“Sarawak sudah mempunyai perundangan tersendiri. Jadi, perlu ada usaha untuk mengharmonikan undang-undang negeri dan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selepas mengadakan kunjungan Rumah Terbuka Deepavali di kediaman Presiden Persatuan Kuil Sikh Sarawak (PKSS) Dr Kalwinder Singh Khaira di Lorong Sungai Maong Tengah 3 di sini, hari ini.

Menurutnya, undang-undang negeri akan tetap berkuat kuasa di Sarawak khususnya dalam aspek penyimpanan karbon di wilayah ini.

“Apabila karbon disimpan di tanah Sarawak, ia mesti mematuhi undang-undang negeri.

“Urusan pengangkutan antarabangsa adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan yang juga merupakan penandatangan kepada Protokol London,” ujarnya.

Mengenai kemungkinan perdagangan karbon bermula tahun depan, Abang Johari berharap ia dilaksanakan selepas rang undang-undang tersebut diluluskan.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pengangkutan rentas sempadan bagi CCUS sambil mengurus aspek lain mengikut bidang kuasanya.

Menurutnya, perkara tersebut telah dibincangkan bersama-sama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ketujuh PETROS dengan keputusan penyimpanan karbon luar pesisir Sarawak akan diuruskan PETROS sebagai pengurus sumber negeri.

Hadir sama Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan