KUALA LUMPUR, 31 Okt: Pelbagai bantuan yang disalurkan Kerajaan MADANI kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa mahupun agama adalah selaras dengan iltizam untuk memastikan kebajikan setiap rakyat kekal terbela, tidak tercicir atau dipinggirkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook pada Rabu berkata bantuan itu antara lain termasuklah sumbangan kepada masyarakat India terutamanya golongan miskin tegar dan yang memerlukan.
Menerusi hantaran sama, Anwar turut berkongsi mengenai program Setiausaha Politik beliau Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menyantuni masyarakat India di sekitar Parlimen Indera Mahkota di Kuantan sempena Majlis Penyampaian Baucar Deepavali 2024.
“Dalam majlis ini, saudara Farhan telah menyampaikan baucar ‘Jom Shopping Deepavali 2024’ kepada 135 penerima bagi membawa keceriaan buat mereka sempena sambutan Deepavali tahun ini,” kata Perdana Menteri.