MIRI, 31 Okt: Jabatan Kerja Raya (JKR) kini memperkenalkan empat papan tanda pengesanan kelajuan yang dikuasakan oleh tenaga solar di beberapa jalan utama di Miri sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan akibat kelajuan.
Papan tanda tersebut ditempatkan di lokasi strategik seperti di hadapan BMC Miri, Bulatan Tugu Kuda Laut, Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Miri dan Pejabat JKR Bahagian Miri yang dikenali sebagai kawasan kerap kemalangan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar memberi amaran tetapi berfungsi sebagai alat pendidikan untuk membantu pemandu memahami pentingnya mematuhi had laju.
“Apa yang anda lihat hari ini adalah papan tanda pengesanan kelajuan radar yang baru dipasang. JKR telah memasang empat papan iklan kelajuan radar ini terutama di sepanjang jalan ini kerana jalan ini juga merupakan salah satu kawasan yang sering berlaku kemalangan.
“Salah satu punca utama kemalangan di sepanjang jalan seperti ini adalah memandu laju,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan pembukaan Papan Tanda Peringatan Radar Kelajuan yang berada di hadapan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Miri petang tadi.
Menurut Lee, data yang dikumpulkan oleh papan tersebut akan dihantar ke pusat kawalan bagi pemantauan.
“Dengan data kelajuan ini, kita tahu pada jam berapa orang biasanya memandu laju. Dan kita boleh memanggil penguatkuasa untuk melakukan pemeriksaan pada waktu tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, lampu isyarat juga telah dinaik taraf kepada sistem SCATS adaptif yang menggunakan teknologi AI untuk menyesuaikan masa lampu isyarat secara automatik berdasarkan keadaan lalu lintas.
“Berdasarkan data yang telah kami kumpulkan, ia telah meningkatkan 25 peratus keseluruhan perjalanan anda, bermakna masa menunggu lampu isyarat dikurangkan. Jadi, ia juga mengurangkan kesesakan lalu lintas,” jelasnya.
Miri kini menjadi contoh kepada bandar lain dalam melaksanakan teknologi pintar yang bermanfaat untuk keselamatan dan kesedaran masyarakat. -TVS