KUCHING, 31 Okt: Draf pindaan Ordinan Perikanan Sarawak 2003 kini di peringkat akhir, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Menurutnya, ordinan yang membolehkan penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak itu penting dalam mengawal selia sumber perikanan laut dalam di perairan wilayah ini.
Antara bidang kuasa dicadangkan dalam pindaan itu adalah aktiviti penangkapan ikan, lesen dan penguatkuasaan.
“Saya berharap mungkin dalam setahun dua ini, kita akan dapat melakukannya (menubuhkan) Jabatan Perikanan Sarawak kerana sekarang kita lihat di Sabah telah ada (Jabatan Perikanan), Sarawak sahaja masih belum ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Integriti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak 2024 yang berlangsung di sini, hari ini.
Hadir sam, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak), Tan Sri William Mawan Ikom, Pengarah Jabatan Veterinar Sarawak, Datu Dr Adrian Susin Ambud dan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohamad Wan Drahman.
Rundi berkata lagi, di bawah penguatkuasaan Jabatan Perikanan Sarawak itu nanti, denda akan dikenakan ke atas nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan laut dalam di kawasan perairan cetek yang dikhaskan kepada nelayan kecil.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan penukaran nama kementeriannya dengan meletakkan perkataan ‘Industri Makanan’ serta mewujudkan beberapa jabatan baharu, antaranya Jabatan Pertanian Sarawak yang terdiri dari Lembaga Industri Getah Sarawak dan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah Sarawak adalah seiring dengan kepesatan pembangunan yang berlaku di Sarawak.
Ia juga sebagai satu usaha dalam mengawal selia komoditi yang dihasilkan di negeri ini.
“Kita mahu menumpukan industri-industri (dan) kerana itu saya menukar nama (kementerian) kepada Industri Makanan.
“Kalau tidak ada industri, kita tidak boleh menjayakan atau mentransformasikan pertanian di negeri ini terutama yang tinggal di luar bandar,” katanya. – TVS