KOTA KINABALU, 31 Okt: Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BOHEX) yang julung kali diadakan dengan matlamat memajukan industri halal di Sabah dan Sarawak.
Berlangsung dari 21 hingga 25 Disember di Sabah International Convention Centre (SICC), pameran tersebut dianjurkan Eminent Resources Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa agensi lain.
Pengarah Urusan Eminent Resources, Mohd Arieff Hafizi Mohd Hashim berkata, pameran tersebut melibatkan 500 tapak pameran daripada penyertaan luar termasuk Indonesia, Brunei, Singapura, China, Thailand, Jepun, Arab Saudi dan Kemboja.
Menurutnya, ia diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan industri mengenai konsep halal di Malaysia.
“Eminent Resources bukan sahaja berusaha memperkukuhkan komitmen industri halal di Sabah tetapi di Sarawak yang mana kami turut mempunyai cawangan. Fokus kami adalah Borneo dan BOHEX menjadi platform utama untuk mencapai matlamat ini,” katanya.
BOHEX tahun menampilkan tema dan susun atur acara baharu dengan pendekatan teknologi terkini serta sesi perkongsian ilmu yang bertujuan memperkukuh industri halal di rantau ini.
Pameran tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan yang akan diumumkan di platform media sosial rasmi BOHEX.
Selain itu, cabutan bertuah menawarkan hadiah menarik seperti Perodua Axia, Bezza, motosikal dan pelbagai peralatan rumah.
Bagi memudahkan pengunjung, perkhidmatan bas percuma akan disediakan dari beberapa lokasi utama termasuk Suria Sabah, Imago, 1Borneo, KKIA dan Pan Borneo Hotel.
Pameran BOHEX 2024 dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.-TVS