KUCHING, 30 Okt: Kerajaan Persekutuan disyor agar memperluas autonomi Sarawak dalam menguruskan projek-projek pembangunan yang dibiayai dana Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah ini akan meningkatkan kecekapan pelaksanaan dan mempercepat pembangunan terutamanya di kawasan luar bandar.
“Pertama, peruntukan disalurkan terus kepada Kerajaan Sarawak dan mengguna pakai tatacara perolehan serta prosedur pelaksanaan projek Kerajaan Sarawak.
“Kedua, mengiktiraf Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai Jabatan Teknik untuk melaksanakan projek bekalan air luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama Kerajaan Sarawak di sini, hari ini.
Sesi tersebut turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Abang Johari turut mencadangkan agar proses kelulusan projek dipermudahkan bagi memudahkan proses tuntutan bayaran balik dan pengeluaran pinjaman.
“(Selain itu), mengambil kira kos logistik termasuk kos pengurusan projek dalam kos projek yang diluluskan terutamanya bagi tujuan pemantauan projek di kawasan luar bandar.
“(Serta) mengkaji semula kadar pengiraan asas bagi kos projek di Sarawak agar lebih holistik dengan mengambil kira kawasan yang luas, logistik, topografi serta komuniti yang berselerak atau terpencil,” tambahnya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Federal Land Acquisition Trust Fund (FLATF) bagi membiayai kos pengambilan balik tanah melibatkan projek Persekutuan.
“FLATF dapat membantu untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah sepertimana yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dalam pelaksanaan projek dengan menggunakan The Special Land Acquisition Trust Fund (SLATF),” ujarnya.
Jelas Abang Johari, kelulusan segera terhadap cadangan-cadangan ini akan memastikan pembangunan di Sarawak dapat dipercepatkan, sejajar dengan aspirasi untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang 2030. – TVS