KUCHING, 30 Okt: Kerajaan Persekutuan digesa mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas secara menyeluruh di kawasan pedalaman Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata infrastruktur asas tersebut adalah penting untuk menjadikan Sarawak sebagai wilayah yang mempunyai ekonomi maju berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang 2030.
Menurutnya, lebih daripada 1,300 penempatan di pedalaman Sarawak masih belum menikmati akses jalan ke kampung halaman.
“Oleh itu, kita perlu membina 1,292 km jalan baharu dan menaik taraf 4,782 kilometer jalan sedia ada dengan kos berjumlah RM38.4 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama Kerajaan Sarawak di sini, hari ini.
Premier Sarawak turut mendedahkan lebih 86,000 isi rumah masih belum menerima akses kepada air bersih, dengan anggaran RM20 bilion diperlukan untuk mencapai liputan 100 peratus di seluruh negeri.
Tambahnya, tambahan peruntukan RM1.3 bilion juga diperlukan untuk menyediakan bekalan elektrik 24 jam berterusan kepada lebih 5,500 rumah di kawasan pedalaman.
Selain itu, Abang Johari menjelaskan Sarawak juga menghadapi kekurangan fasiliti kesihatan dan pakar perubatan yakni enam hospital dan 206 klinik daif memerlukan perhatian segera.
“Sejumlah RM7.89 bilion diperlukan bagi pembinaan fasiliti kesihatan baharu, menaik taraf dan membaik pulih serta menyelenggara fasiliti kesihatan,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan untuk meningkatkan prasarana pendidikan di Sarawak yang memerlukan RM5.2 bilion untuk membaik pulih sekolah daif dan RM54 juta untuk mengatasi masalah kekurangan fasiliti makmal sains.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak berusaha menjadikan data dan inovasi sebagai teras pembangunan dengan fokus pada kepelbagaian ekonomi melalui aktiviti hiliran bernilai tinggi serta pengenalan ekonomi baharu.
“Oleh itu, pembangunan infrastruktur asas, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti sebagai pemangkin perlu dipercepatkan.
“Ini bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dilaksanakan di setiap pelosok Sarawak bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan membasmi kemiskinan,” katanya. – TVS