BINTANGOR, 30 Okt: Projek pembinaan Jambatan Batang Igan yang menghubungkan rangkaian jalan pesisir pantai Sarawak dijangka dapat disiapkan menjelang suku keempat tahun depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Intergriti dan Ombudsman, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, setakat ini, pelaksanaan projek yang bernilai lebih RM200 juta itu berjalan lancar.
Menurutnya, perkembangan positif projek itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kelancaran pelaksanaannya.
“Saya dimaklumkan projek ini mengikut jadual, pembinaannya berjalan dengan baik dan dijangka siap pada suku yang keempat 2025.
“Kita juga dimaklumkan Batang Lassa akan siap lebih awal. Apabila kedua-dua jambatan ini siap, pergerakan penduduk dari Mukah untuk bergerak ke Matu Daro akan lebih mudah,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan ke Masjid Muhajirin Taman Bintang di sini, hari ini.
Menurut Juanda, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu merupakan sebahagian usaha kerajaan menyediakan akses perhubungan darat yang lebih sempurna untuk penduduk di kawasan pesisir Sarawak.
Malah beliau optimis dengan siapnya jambatan itu, menyaksikan perubahan besar ke atas kawasan berkenaan.
“Kewujudan prasarana baharu itu nanti bukan sahaja memudahkan akses perhubungan darat tetapi menyediakan peluang ekonomi baharu kepada penduduk,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng.
Sementara itu, pembinaan Masjid Muhajirin yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya masyarakat islam di kawasan perumahan Taman Bintang.
Kemudahan bernilai lebih satu juta ringgit yang disalurkan kerajaan melalui Majlis Islam Sarawak itu, bukan sahaja boleh digunakan untuk ber ibadat tetapi juga pelbagai aktiviti kemasyarakatan. – TVS