KUCHING, 30 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan terdapat pihak tampil menyatakan minat dan hasrat untuk melabur dalam projek pembinaan lapangan terbang Kuching yang baharu.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai butiran atau maklumat pihak berkenaan.
“Nampaknya ada pelabur yang hendak bersama dengan kita (membina lapangan terbang baharu).
“Pada mulanya saya fikir hendak gunakan dana sendiri tetapi pihak tersebut datang untuk bersama membangunkan lapangan terbang antarabangsa baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-7 Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di sini hari ini.
Tambah Abang Johari, Sarawak memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi rantau ini terutama dalam sektor tenaga hijau termasuk penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF).
“Sudah tentu kita akan hasilkan SAF untuk syarikat penerbangan kita sendiri.
“Dengan pembinaan kesemua infrastruktur ini, kita bersama membangunkan Sarawak yang moden dan lestari menjelang 2030,” ujarnya
Untuk rekod, pembinaan lapangan terbang baharu itu selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan serantau.
Selain itu, ia juga bertujuan menyokong industri penerbangan yang semakin berkembang di Sarawak.
Sebelum ini Abang Johari berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semakin sesak menyebabkan kemudahan sedia ada tidak mampu menampung keperluan penumpang yang bertambah.
Lapangan terbang baharu yang dijangka mampu menampung 15 juta penumpang setiap tahun itu akan menampilkan reka bentuk moden dan automatik sepenuhnya serupa dengan Doha bagi memastikan pengalaman yang lancar dan cekap untuk para pelancong.
Pembangunan itu dijangka mengambil masa sekitar tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.
Projek tersebut merupakan langkah penting ke arah mewujudkan syarikat penerbangan milik Sarawak. -TVS