KUALA LUMPUR, 30 Okt: Kemeriahan Little India Brickfields di sini turut diserikan dengan sebuah gerai yang menjual pasu dari Sarawak untuk dekorasi Deepavali esok.
Menjual pasu daripada tanah liat itu sejak 25 tahun lalu, Saraswathy Rajaram, 45, berkata pasu berkenaan antara dekorasi unik perayaan penganut agama Hindu di sini.
“Saya hanya menjual pasu ini pada perayaan Deepavali sahaja. Hari-hari biasa tidak (menjualnya),” katanya ketika ditemui pemberita di Little India Brickfields, malam ini.
Tambahnya, jualan pasunya itu tidak mahu dikomersialkan secara dalam talian ekoran mahu mengekalkan semangat pesta cahaya (Deepavali).
Menurut Saraswathy, pasu-pasu berkenaan diperolehnya menerusi pembekal langsung dari Sarawak.
“Saya melihat pasu ini sangat unik…sangat cantik untuk dekorasi Deepavali dengan meletakkan bulu burung merak.
“Boleh saja letak bunga lain tetapi saya akan cadangkan kepada pelanggan untuk meletakkan bulu burung merak kerana merak melambangkan keindahan perayaan dan berkait rapat dengan agama kami (Hindu) iaitu Deepavali bermaksud pesta cahaya,” ujarnya.
Tinjauan TVS pada ambang Deepavali esok sebentar tadi menyaksikan orang ramai terutama masyarakat India tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah persiapan akhir mereka. – TVS