KUCHING, 30 Okt: Lebih 3,000 isi rumah di Quadruplex Taman Ceria (QTC) di Permyjaya, Miri bakal menikmati kemudahan bekalan gas asli berpaip selepas keseluruhan projek berkenaan siap.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, fasa kedua projek itu sedang dilaksanakan dengan pertambahan 135 isi rumah daripada 13 isi rumah dalam fasa pertama yang selesai pada Februari lalu.
“Projek fasa kedua berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang 2025.
“Sebaik sahaja projek ini siap sepenuhnya, ia akan memanfaatkan lebih 3,000 isi rumah di Permyjaya secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-7 Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di sini hari ini.
Abang Johari menambah, PETROS juga menyiapkan projek mercu tanda yang menyediakan 115 peniaga di Medan Saberkas, Miri dengan gas asli berpaip yang boleh dipercayai dan berpatutan.
“Sebagai agregator gas, PETROS diamanahkan untuk melabur dalam pembangunan, pengurusan serta penyelenggaraan infrastruktur gas dan tenaga kritikal di seluruh Sarawak.
“Kemajuan yang telah kita capai di Miri hanyalah permulaan jejak kita, akan ada lagi yang mendatang,” ujarnya.
Dalam pada itu PETROS turut melakukan satu pelaburan penting bagi masa depan sektor tenaga di Sarawak yang melibatkan nilai pelaburan RM100 juta dalam projek ‘Gas to Bintulu’ yang bertujuan menyediakan akses gas asli ke Bintulu dan RM1 bilion disalurkan kepada Projek Talian Paip Samalaju.
Pemasangan saluran paip luar pesisir ini mengikut jadual dan dijangka siap menjelang November 2025. -TVS