Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) bersama Ketua Polis Johor Datuk M Kumar (dua, kiri) menunjukkan senjata api yang dirampas pada sidang media berhubung kes culik ahli perniagaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. Beliau berkata polis menemui semula wang tebusan berjumlah RM7.2 juta yang dibayar keluarga ahli perniagaan. Foto Bernama

Kes culik ahli perniagaan: Polis jumpa semula RM7.2 juta wang tebusan

ByBernama

JOHOR BAHRU, 30 Okt: Polis berjaya menemukan semula RM7.2 juta daripada kira-kira RM20 juta wang tebusan yang dibayar keluarga seorang ahli perniagaan yang diculik dalam kejadian pada 13 Okt lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata wang tebusan yang dijumpai semula itu ialah wang tunai berjumlah RM1.95 juta, satu juta dolar Singapura (anggaran RM3.3 juta) dan 400,000 mata wang kripto (RM1.75 juta).

“Selain wang, kita turut menemukan barang kes iaitu sepucuk pistol jenis Pietro Beretta, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang turut dihadiri Ketua Polis Johor CP Datuk M Kumar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata setakat ini sebanyak 14 individu telah ditahan membabitkan kes itu dan peranan mereka dalam kes penculikan terbabit turut dikenal pasti termasuk dalam konteks perancangan dan pelaksanaan culik, melupus barang kes serta pengurusan wang tebusan.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak polis masih menyiasat motif dan dalang kes penculikan ahli perniagaan itu yang merupakan seorang pemaju hartanah.

“Mengenai seorang ahli keluarga mangsa yang turut ditahan, perkara ini masih dalam siasatan, jika kita maklum siapa, ia mungkin akan mengganggu siasatan, buat masa ini masih terlalu awal untuk kita kongsikan maklumat itu, tetapi saya boleh sebut dia adalah wanita,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 sekali gus menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta bertujuan menyebabkan kegusaran awam.

Sebanyak 14 individu telah ditahan termasuk seorang ahli keluarga mangsa berumur 23 hingga 58 tahun dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini bermula 22 hingga 29 Okt.

Terdahulu Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru Chai Ing Hien mengeluarkan perintah sambung reman tujuh hari lagi bermula esok hingga 6 Nov terhadap tiga suspek warga Vietnam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berumur 30-an sebelum ini telah ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan sambung reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 5 Nov terhadap 10 individu termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan itu.

Turut direman seorang lagi suspek lelaki tempatan yang ditahan pada Isnin lepas.

Lelaki berusia 59 tahun terbabit didakwa dibawa lari pada kira-kira 5 pagi ketika sedang menunggu perkhidmatan e-hailing untuk ke lapangan terbang kerana akan berlepas ke luar negara atas urusan perniagaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan