KUALA LUMPUR, 30 Okt: Kementerian Digital mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data (SKDKD) pada separuh pertama 2025.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, suruhanjaya itu akan menyelia pembangunan ekosistem data yang selamat, terjamin dan dipercayai bagi memupuk aliran data yang produktif.
“Saya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pemain-pemain industri tertentu dan kami mencadangkan untuk menubuhkan jawatankuasa data sementara. Saya akan mengadakan pertemuan dengan mereka dan jawatankuasa ini akan mencadangkan struktur suruhanjaya itu.
“Mudah-mudahan dalam tempoh tiga bulan akan datang, kita akan mendapat input tentang bagaimana suruhanjaya ini sepatutnya. Setelah itu, kami akan menyediakan kertas Kabinet (mengenainya) dan membawa cadangan itu kepada Kabinet tahun depan,” katanya selepas melancarkan Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024, di sini baru-baru ini.
Kementerian berharap suruhanjaya itu akan meletakkan asas yang kukuh untuk penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dan produktif pada masa kini dan di masa hadapan.