KUCHING, 30 Okt: Unit Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kuching telah melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara Rondaan Pemantauan & Penguatkuasaan (RPP) di sekitar bandaraya ini semalam.
JPJ Sarawak dalam kenyataan berkata, Unit Operasi JPJ Cawangan Kuching telah mengesan beberapa kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.
“Kesalahan dilakukan termasuklah kesalahan tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (cukai jalan) tamat tempoh dan kesalahan teknikal yang lain.
“Sebanyak 180 buah kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 66 notis ketidakakuran telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Kenderaan Perdagangan,” katanya
JPJ Negeri Sarawak menyeru agar semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya setiap masa. -TVS