CHINA, 30 Okt: Delegasi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) mengadakan lawatan ke Beijing, China selama empat hari.
KPWK dalam kenyataan hari ini berkata, lawatan sambil belajar itu diketuai oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Tujuan lawatan itu bagi berkongsi usaha dan matlamat kerajaan masing-masing dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.
Lawatan pertama yang dikunjungi oleh delegasi dari KPWK adalah Kementerian Pendidikan China.
Pertemuan dua hala ini mencerminkan dedikasi kedua-dua kerajaan dalam memandang serius terhadap kesaksamaan serta keterangkuman, termasuk memperkasa golongan berkeperluan khas dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Justeru, hubungan yang terjalin di antara China dan Malaysia, khususnya Sarawak dapat diperkukuhkan melalui kolaborasi pelaksanaan program dan kajian di masa akan datang.-TVS