Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyampaikan Anugerah Sasterawan Sarawak Keenam kepada Dr Abang Patdeli Abang Muhi pada majlis Anugerah Sastera Sarawak ke-11 di Kuching, malam ini. Turut kelihatan, Datuk Dr Annuar Rapaee. Foto TVS

Anugerah Sastera Sarawak penghargaan kepada karyawan sastera

KUCHING, 30 Okt: Anugerah Sastera Sarawak ke-11 merupakan wadah kerajaan negeri ini dalam menzahirkan tanda hormat serta apresiasi kepada penggiat serta karyawan sastera Bumi Kenyalang.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sumbangan sasterawan serta karyawan sastera negeri ini penting dalam mempromosi serta memperkasakan sastera Sarawak, terutama dalam mengangkat tema yang berkait dengan kearifan budaya tempatan yang seterusnya dimartabatkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Keupayaan sastera harus dioptimumkan dan direncanakan operasinya secara strategik agar menjadi prinsip ke arah kepengarangan setiap penulis untuk menjadi tenaga penggerak yang punya ideologi sifatnya. Penulis harus melihat masa depan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang masa depan dalam kalangan individu dan masyarakat.

“Penulis mesti memanfaatkan kepentingan pemikiran masa depan sebagai satu cara untuk membangunkan paradigma dan metodologi dalam memahami dan mengaplikasikan usaha membentuk peradaban majmuk pada masa depan sebagai pandangan sejagat yang dinamik,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Sastera Sarawak ke-11 di sini, malam ini.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari pula berkata, Anugerah Sastera Sarawak ke-11 merupakan inisiatif DBP bersama kerajaan Sarawak yang telah dimulakan sejak tahun 1994 dalam usaha memperkasa serta memartabatkan penggiat dan karyawan sastera, bahasa dan budaya tempatan.

“Acara yang kita laksanakan malam ini adalah sebagai satu daripada program terancang untuk memastikan kelahiran penulis-penulis muda yang akhirnya dapat diketengahkan di peringkat kebangsaan.

“Pada hari ini juga, pihak DBP Cawangan Sarawak memberi pengiktirafan kepada para karyawan dalam beberapa kategori yang dirasakan perlu untuk membuktikan kecemerlangan para karyawan di Sarawak yang sentiasa aktif dan progresif dalam setiap penulisan yang dihasilkan dalam pelbagai medium,” ujarnya.

“Untuk makluman, pemberian pengiktirafan ini telah melalui penilaian panel khas dengan melihat beberapa aspek penting untuk memastikan penerima anugerah-anugerah ini merupakan karyawan yang telah memberi sumbangan dan kasa baktinya dalam bidang penulisan.

Sumbangan jasa dan bakti yang berharga dan bermutu dalam pembangunan pemikiran masyarakat selain kejayaan serta pencapaian mereka di peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan,” ujarnya lagi.

Panel penilai Anugerah Sastera Sarawak ke-11 telah sebulat suara menobatkan Dr Abang Patdeli Abang Muhi sebagai Sasterawan Sarawak Keenam pada edisi kali ini.

Anugerah yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ini adalah untuk mengiktiraf komitmen, kepakaran, kewibawaan serta ketokohannya sebagai salah seorang penulis dan sasterawan ulung Bumi Kenyalang.

Hadir sama, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan