KUCHING, 30 Okt: Ahmad Tarmizi Ahmad Sabirin merangkul gelaran juara bagi program Agrotech Heroes dengan meraih ganjaran sebanyak RM10,000.
Berpengalaman lebih 10 tahun dalam pertanian moden, Ahmad Tarmizi, 28, yang juga merupakan Pengurus SJ Farm berkata, dia akan menggunakan hadiah tersebut untuk mengembangkan perniagaannya.
“Saya akan gunakan hadiah ini untuk mengembangkan perniagaan saya, khususnya dalam memperbaiki kualiti tanaman cili geronong, salad, cili besar, dan pudina.
“Saya berharap pencapaian ini menginspirasi belia lain untuk menceburi bidang pertanian moden,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Agrotech Heroes berkata, rancangan ini dirangka bukan sahaja untuk mencari ikon pertanian moden tetapi juga untuk mempromosikan penyertaan golongan belia dalam sektor koagro.
“Ia selaras dengan keperluan keselamatan makanan negara dan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS2030).
“Program ini memberikan tumpuan kepada potensi agroteknologi dan keusahawanan, menyuntik semangat belia Sarawak untuk meneroka pertanian sebagai kerjaya masa depan yang moden dan berdaya saing,” katanya.
Agrotech Heroes menambah hasratnya untuk meneruskan musim kedua Agrotech Heroes untuk terus memberi inspirasi kepada generasi muda di Sarawak dalam industri agro moden.
Untuk rekod, Agrotech Heroes merupakan rancangan realiti pertama di Sarawak dalam menyelami dunia pertanian moden dan agroteknologi dengan hasil usaha Moteevasi Media Sdn Bhd dan Koperasi Belia Inovasi Sarawak sekali gus sokongan TVS.
Rancangan ini menampilkan perjalanan enam “Heroes” yang mempamerkan bakat dan dedikasi mereka dalam bidang pertanian moden, sekali gus menginspirasi generasi muda Sarawak untuk menceburi industri ini yang bermula pada 28 Julai dan berakhir pada 27 Oktober lalu. – TVS