BINTULU, 30 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyarankan agar OM Sarawak menghasilkan calcium wire dari ferroalloy.
Kata beliau, calcium wire tersebut dapat digunakan untuk menghasilkan skru yang digunakan dalam pembinaan kapal.
“Sekarang orang sedang bercakap mengenai ekonomi sirkular dan saya difahamkan bahawa produk ferroalloy anda mempunyai banyak sisa yang dapat digunakan untuk menghasilkan produk lain. Saya rasa salah satu produk tersebut ialah ferro calcium wire.
“Seperti anda tahu calcium wire adalah wayar yang tahan lasak dan ia mungkin boleh digunakan oleh mereka yang menghasilkan skru untuk pembinaan kapal seperti kapal terbang. Mungkin barisan ahli lembaga (OM) dapat memikirkan mengenai perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun ke-10 OM Sarawak di sini, malam tadi.
Tambah beliau, ia adalah sejajar dengan langkah kerajaan ke arah masa depan mampan.
Katanya, ferroalloy yang dihasilkan oleh OM Sarawak merupakan produk yang mesra alam kerana kurang penggunaan sulfur oksida. – TVS