KOTA KINABALU, 30 Okt: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghantar seramai 24 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga China balik ke negara asal, semalam.
Proses pemindahan tahanan PATI itu dijalankan menggunakan pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Tawau secara terus ke Guangzhou, China.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai 24 lelaki termasuk empat warga emas.
Katanya, program ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara China yang berusia lingkungan 31 hingga 64 tahun.
“Semua tahanan kali ini hanya melibatkan PATI dari Depot Imigresen Tawau yang ditahan selepas dikesan masuk ke negara ini secara salah.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan proses perundangan negara di mana 20 PATI dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang seorang dan dipindahkan balik ke negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, baki empat lagi PATI hanya dikenakan tindakan usir balik ke negara asal kerana mengambil kira faktor usia PATI yang telah lanjut.
Katanya, semua PATI yang dipindahkan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
“Termasuk penghantaran kali ini, seramai 34 orang tahanan warganegara China sudah dipindahkan sepanjang tahun 2024.
“Manakala statistik keseluruhan pemindahan warga asing melibatkan pelbagai negara yang menggunakan pengangkutan udara saja adalah seramai 256 orang,” katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, setakat 30 Oktober tahun ini, JIM Sabah sudah berjaya melaksanakan penghantaran pulang tahanan depot sebanyak 98 kali melibatkan pemindahan melalui darat, laut dan udara.
Katanya, ia bersamaan 6,873 PATI yang terdiri daripada 4,925 lelaki dan 1,159 wanita serta 789 kanak-kanak. – TVS