BINTANGOR, 29 Okt: Usaha keras Kumpulan Kesenian Sarikei (Kesari) membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan juara pertandingan kesenian sempena Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) peringkat negeri, hari ini.
Pertandingan yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong itu menyaksikan persaingan sengit 10 kumpulan kesenian warga pendidikan dari seluruh Sarawak.
Sarikei dibarisi Midya Hasdi (vokalis) Aswandee (dram), Siti Zaharah (basis), Joannes, Daniel (gitaris), Monalisa (keyboard), Aldridge (sape) dan Lydia Lat (keromong).
Persembahan mantap melalui Lagu Seribu Impian dan Tarian-Pabat Pibui (tarian Orang Ulu) berjaya memukau juri sebelum melayakkan mereka untuk bergelar johan.
Mengulas kemenangan itu, jurucakapnya, Aswandie Wahed berkata, sepanjang latihan anggota Kesari memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi.
“Walaupun masing-masing dihimpit kesibukan tugas hakiki namun, tidak menghalang kelancaran sesi latihan kami setiap hari.
“Begitu juga dengan komitmen tinggi Pegawai Teknik, Syukri Berawi yang memberikan sumbangan besar di sebalik kejayaan kami, ” katanya kepada TVS.
Mengulas cabaran kumpulan lain, beliau berkata, kesemua peserta mempunyai kelebihan masing-masing, malah tampil dengan persembahan unik dan menarik.
Dalam pada itu, Kumpulan Sibu menduduki tempat kedua manakala Serian menyandang tempat ketiga.-TVS