KUCHING, 29 Okt: Sarawak berhasrat untuk meningkatkan penggunaan gas domestik daripada enam peratus pada masa ini kepada 30 peratus menjelang 2030.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, inisiatif ini akan memastikan bekalan gas jangka panjang bagi keperluan domestik serta terus menyokong pertumbuhan industri.
“Campuran tenaga Sarawak yang semakin berkembang, dengan peningkatan penjanaan daripada gas dan tenaga boleh diperbaharui, akan mempunyai intensiti karbon yang lebih rendah.
“Ini akan menjadikan sektor ekonomi kita lebih kompetitif di peringkat global dengan kuasa yang mampu milik dan mampan,” katanya pada Majlis Perasmian PETROS Connect 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Awang Tengah berkata, peningkatan pengeluaran gas akan menyokong pertumbuhan industri melalui pelaburan dan perniagaan asing serta domestik yang bergantung kepada gas asli.
Beliau menambah, Hab Gas Rendah Karbon Kuching turut memainkan peranan penting dalam mencapai masa depan tenaga yang lebih bersih.
Dengan pembangunan pelabuhan laut dalam yang baharu di Kuching katanya, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) merancang untuk membawa gas asli melalui kemudahan import Gas Petroleum Cecair (LPG) yang baharu.
“PETROS juga berhasrat untuk membangunkan fasiliti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di barat Sarawak. Projek-projek ini akan meletakkan hab Kuching sebagai pencetus perubahan bagi Sarawak, Malaysia dan rantau ini,” katanya lagi.
Bagi merealisasikan perancangan ini, PETROS aktif bekerjasama dengan institusi pendidikan tempatan dan pusat pembangunan kemahiran untuk menyediakan latihan dan peluang pekerjaan bagi pelajar dan graduan baharu, memperkukuhkan kumpulan bakat tempatan.
Kerjasama ini menurut beliau, membolehkan belia Sarawak memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk memulakan laluan kerjaya dalam ekonomi berpendapatan tinggi rendah karbon.
Pada majlis sama, Awang Tengah turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PETROS, institusi akademik dan rakan industri untuk bekerjasama dalam inisiatif latihan dan penempatan kerja, memperkukuhkan kapasiti dan kemampuan tenaga kerja muda Sarawak. – TVS