MIRI, 29 Okt: Sarawak mencipta sejarah sebagai negeri pertama di negara ini menganjurkan kejohanan pickleball peringkat negeri, Sarawak Pickleball Open Tournament (SPOT) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Miri pada 22 hingga 24 November ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, sukan pickleball mula diperkenalkan di Miri pada tahun 2019 dan kini sedang berkembang ke seluruh negara.
“Acara ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Persatuan Pickleball Malaysia serta Persatuan Pickleball Sarawak sebagai penganjur dan badan pengelola utama kejohanan ini.
“Dengan adanya Sarawak Pickleball Open, buat pertama kali di Sarawak, saya yakin ramai orang akan datang. Bukan sahaja dari kawasan sekitar, malah saya pasti peserta dari Singapura juga akan turut serta,” katanya pada sidang media kejohanan itu di Lutong di sini, hari ini.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan seperti itu dapat mempromosikan pelancongan di Miri secara menyeluruh.
“Kejohanan ini akan menarik penyertaan peserta dari seluruh Malaysia dan pelbagai negara lain. Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran boleh menghubungi Delima Ibrahim di talian 012-883 0407. -TVS