KUCHING, 29 Okt: Inisiatif yang dijalankan oleh syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) melalui Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) dijangka dapat menarik pelaburan lebih RM100 juta dari dalam dan luar negara dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo berkata, SGR merupakan pelan 10 tahun yang mampu meningkatkan penggunaan gas domestik sekali gus menyumbang kepada pembangunan mampan di wilayah ini.
“Elemen penting dalam masa depan ini adalah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), pelan 10 tahun yakni kami menjangka dapat meningkatkan penggunaan gas domestik di Sarawak. Selain itu, ia memperluas rangkaian pengedaran gas sedia ada melalui pembangunan sistem saluran paip fizikal dan maya yang baharu.
“Secara tidak langsung ia akan menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi domestik, mewujudkan kesan rantaian merentasi industri, memacu pembangunan, dan meningkatkan taraf hidup di sekeliling,’ katanya pada Majlis Pelancaran PETROS Connect 2024 di sini, hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya, kemajuan yang dikecapi selama tujuh tahun, terutamanya dalam memajukan SGR, mencerminkan visi PETROS bagi mewujudkan peluang lebih besar untuk rakyat Sarawak serta menarik pelaburan ke dalam sektor gas domestik.
Inisiatif ini selaras dengan hasrat Sarawak untuk menjadi peneraju tenaga serantau bagi memacu pembangunan mampan dan kemakmuran ekonomi untuk Sarawak.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa SGR turut memperluas rangkaian pengedaran gas sedia ada melalui pembangunan sistem saluran paip fizikal melalui projek yang giat dijalankan di wilayah ini.
“Beberapa pencapaian penting yang perlu diberi perhatian iaitu Projek Paip Samalaju. Saluran paip sepanjang 65 kilometer (km) yang menghubungkan Bintulu ke Taman Perindustrian Samalaju, dijangka beroperasi pada akhir tahun 2025.
“Selain itu, di Miri, Loji Turbin Gas Gabungan Kitara (CCGT) berkapasiti 500MW dijangka beroperasi pada akhir tahun 2027 serta menyediakan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan selamat untuk wilayah utara Sarawak,” ujarnya lagi.
Tegasnya, inisiatif ini dilihat mampu menyediakan sumber asas untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, PETROS membuktikan bahawa syarikatnya bukan hanya sebuah syarikat minyak dan gas, malah turut menjadi enjin untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan di wilayah ini.
Justeru, PETROS terus komited untuk memanfaatkan sumber bagi kemajuan mampan dan memberi nilai positif untuk menjamin kualiti hidup rakyat ke arah yang lebih baik.