KUCHING, 29 Okt: Pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang dilancarkan tiga tahun lalu, bukan sekadar dasar tetapi komitmen penuh kerajaan meneroka ekonomi baharu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia merupakan tekad kerajaan negeri dalam memperkasa kelestarian alam sekitar sebagai salah satu tunjang kepada pembangunan ekonomi hijau negeri.
Menerusi strategi ini, kata Abang Johari ia bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan seimbang dan mampan, selaras dengan aspirasi global untuk melindungi alam sekitar.
Mengambil kira transisi pelaksanaan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) pada 2008, ia jelas meletakkan wilayah ini sebaris dengan pemain industri tenaga bersih dunia.
“Dengan memanfaatkan sumber kuasa hidro kami yang banyak, kami telah berjaya beralih daripada bahan api fosil, mencapai pengurangan 73 peratus dalam intensiti pelepasan grid dari 2010 hingga 2022.
“Peralihan ini mengukuhkan keselamatan tenaga dan mempamerkan kepimpinan kami dalam pengeluaran tenaga boleh diperbaharui di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Sarawak Sustainability Insights 2024 di Hotel Pullman Kuching pada Selasa.
Tegasnya, Sarawak akan terus melangkah ke hadapan dalam usaha meningkatkan tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga.
“Satu perkembangan yang menjanjikan ialah inisiatif baharu Sarawak untuk memanfaatkan rumput Napier sebagai sumber biotenaga boleh diperbaharui.
“Dengan kapasiti untuk tiga kali tuaian setiap tahun, rumput serba boleh ini boleh diproses menjadi pelet yang kaya dengan tenaga, yang sudah dieksport dari kilang Bintulu ke United Kingdom,” katanya. -TVS