KUALA LUMPUR, 29 Okt: Industri perhotelan digesa untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam penstruturan gaji minimum baharu kepada tenaga kerjanya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mendedahkan perbincangan bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim telah diadakan bagi mencari jalan untuk pelaksanaan dasar tersebut.
“Mengenai gaji minimum, kita masih lagi menunggu jawapan daripada pihak perhotelan tentang bagaimana kita boleh bekerjasama dan cara ia diuruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee di Dewan Rakyat.
Katanya, MOTAC sentiasa membantu pemain-pemain industri pelancongan tempatan termasuk industri perhotelan melalui pelbagai bantuan dan insentif yang diberikan.
Dalam sesi sama, Tiong turut memberitahu bahawa kawal selia premis penginapan pelancongan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang diselia oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri masing-masing.
“Bagi memastikan keseluruhan ekosistem premis penginapan pelancongan diperkukuhkan, maka MOTAC akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri, KPKT dan PBT mengenai pemberian lesen dan kawal selia penginapan sewaan jangka pendek (STRA) ini,” katanya. -TVS