KUALA LUMPUR, 29 Okt: Status Malaysia sebagai rakan negara BRICS dilihat akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan peningkatan eksport bagi tempoh jangka masa panjang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka mampu berperanan dalam mengukuhkan rantaian bekalan global.
“Malaysia sebagai sebuah negara terbuka dari segi perdagangan sentiasa pegang pendekatan ekonomi terbuka dan dasar mesra, kita nak jadi pragmatik dan menyokong iklim perdagangan serta pelaburan yang kondusif.
“Kita sentiasa berpegang pada dasar tidak bersekutu dengan mana-mana negara kuasa ekonomi dalam menangani isu-isu antarabangsa termasuk perang perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai kesan penerimaan Malaysia sebagai rakan negara BRICS.
Katanya, kerajaan akan terus mengukuhkan hubungan diplomatik dengan mengekalkan hubungan perdagangan yang positif dengan semua rakan dagang dan negara dagang bukan tradisional.
Pada 24 Oktober Lepas, Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara rakan BRICS. -TVS