KUCHING, 29 Okt: Kajian proses Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) menggunakan teknologi terkini dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata kajian tersebut berkemungkinan besar akan dilakukan di kawasan luar pesisir Sarawak di Miri berikutan lokasinya mempunyai tanah yang lata ke arah laut.
“Kajian OTEC ini akan mengambil masa mungkin satu hingga satu tahun setengah berikutan kita sudah mempunyai data (untuk lakukan kajian itu) dan data itu mendedahkan kepada kita mempunyai kemungkinan mengeluarkan tenaga daripada laut.
“Berkemungkinan besar kita adakan kajian di luar pesisir Miri kerana ia mempunyai tanah yang lata ke arah laut dan jika melihat hasil geologi, lautan Miri adalah termasuk dengan kawasan Balingian dan Mukah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sarawak Sustainability Insights di Hotel Pullman Kuching pada Selasa.
Tambah Abang Johari, kawasan lautan itu juga mempunyai kedalamannya yang sesuai memandangkan permukaan air adalah panas berikutan pancaran matahari manakala kedalaman air cukup sejuk.
Terdahulu pada Ahad, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama pegawainya menjalankan kajian pelaksanaan OTEC yang merupakan satu lagi usaha berterusan kerajaan untuk mencari sumber tenaga yang boleh diperbaharui selain gas, hidroelektrik dan solar.
Jika penerokaan itu berjaya, maka Sarawak mempunyai sumber tenaga baharu untuk memacu ekonomi negeri ini – TVS